top of page

Makanan Tradisional Kaum India

Nasi daun pisang adalah makanan tradisional bagi kaum India. Nasi daun pisang merupakan makanan sayuran.  Daun pisang digunakan untuk menggantikan pinggan disebabkan ia mempunyai sebab saintifik. Haba dari nasi yang panas menyebabkan daun pisang membebaskan bahan yang membantu penghadaman. Selain itu, daun pisang yang menjadi panas akan membebaskan bau harum yang menambahkan selera makan. Daun pisang yang telah digunakan untuk makan juga boleh dikitar semula.

​

Daun pisang diletakkan dengan bahagian pucuknya menghala ke kiri pemakan. Oleh itu, pangkal daun pisang yang lebih lebar berada pada sebelah kanan pemakan. Ini untuk memberi lebih ruang untuk makanan dihidang dan selesa bagi orang yang menggunakan tangan kanan untuk makan. Nasi daun pisang dimakan menggunakan tangan sebab tradisi makanan kaum India adalah menggunakan tangan.

​

Sebelum nasi dihidangkan di atas daun pisang, pemakan akan merinjis air pada daun pisang dan melapkan daun tersebut. Tindakan ini dilakukan untuk membersihkan daun pisang tersebut. Di India nasi hanya akan dihidangkan selepas pemakan telah membersihkan daun pisang tersebut, tetapi sesetengah masyarakat kaum India di Malaysia tidak lagi mengamalkan perkara ini.

  

Nasi dihidangkan dahulu dan kemudiannya diikuti dengan sayur-sayuran dan kari. Kebiasaannya, kari dhal (sambar) dan 3 hingga 4 jenis sayur akan dihidangkan. Selain itu, papadam, acar, yogurt, rasam, cili yang digorengkan (vattal) dan payasam juga dihidangkan. Garam juga dibekalkan untuk dicampurkan dengan yogurt. Makanan daun pisang mengandungi pelbagai rasa iaitu masin, masam, manis dan pedas.

​

Selepas nasi dimakan habis, rasam iaitu sup yang mengandungi pelbagai rempah diminum. Rasam diminum selepas makan sebab ia membantu sistem penghadaman.  Selepas itu, payasam yang merupakan makanan manis akan dituang di atas daun pisang yang sama dan dimakan menggunakan tangan. Kadang kala ia dimakan dengan vadai yang diperbuat daripada dhal.

  

Daun pisang dilipat sebagai tanda sudah habis makan. Terdapat dua cara untuk melipat daun pisang iaitu kearah dalam ataupun kearah luar. Daun pisang dilipat kearah dalam setelah selesai makan sebagai tanda terima kasih kepada tuan rumah, walaupun tuan rumah adalah tuan kedai makan. Manakala, daun pisang dilipat kearah luar sebagai tanda takziah kepada keluarga si mati. Di Malaysia, sesetengah orang yang bukan asal kaum India melipat daun pisang kearah luar sebagai tanda rasa tidak puas hati dengan makanan yang telah dihidangkan.

bottom of page